28 Mei 2014

Semoga kau tabah kawan.

Assalamualaikum.

Lama sudah tidak mencoret cerita peribadi di blog kesayangan ini yang asalnya memang bertujuan untuk cerita tentang kisah hidup suka duka.

Hari ini, ketika ini, saja aku mencuri masa sedikit menulis coretan khas buat kawan.


Kita pernah rapat, cerita suka duka, tapi akhirnya kamu memilih untuk tidak lagi bersahabat dengan aku.  Aku lepaskan walaupun pada awalnya aku tertanya-tanya kenapa kamu tiba-tiba mengelak.  Apa aku buat? Apa salah aku?  Tapi aku fikir ada hikmah di sebaliknya.  Ya, banyak sangat hikmah.  Aku sangat tenang selepas minta maaf walaupun pada asalnya aku sendiri tidak tahu apa salah aku.  Terima kasih kawan sebab bagitahu aku apa salah aku pada akhirnya walaupun dengan satu perkataan.  Aku terima.  Ya, aku memang manusia yang tidak sempurna, punya banyak kesalahan dan kesilapan dengan sedar atau tanpa sedar.  Aku hendak kau tahu yang selama ini aku juga terima dan bersabar dengan setiap kelebihan dan kelemahan kau.

Walaupun kita sekadar kawan, mungkin persabahatan yang terjalin lama, buat aku tergerak hati memikirkan kamu di saat kau dalam kesedihan.  Ya, asalnya aku sudah gosok baju berwarna peach, entah kenapa, aku tiba-tiba mencari-cari lagi baju, dan ternampak baju yang aku pernah beli dengan kau yang kau sudah tidak muat.  Aku ambil baju itu dan fikir untuk asingkannya untuk diberi pada orang lain yang lebih memerlukan.  Entah kenapa berat.  Lalu aku ambil dan berhajat untuk pakai baju ini buat kali terakhir.  Ya, hari ini aku memakai baju orenmu.


Pagi ini aku terima khabar duka dari kawan-kawan melalui facebook yang ayah kamu telah meninggal dunia.  Salam takziah kawan.  Semoga ayah kamu ditempat di kalangan orang yang beriman.  Aku telah rasa saat paling duka itu lama dulu.  Lama juga hendak pulih.  Semoga kamu tabah.

Khabarnya ayah kamu meninggal jam 2 pagi lebih.  Ya, waktu itu aku terjaga, buka handphone, layan WhatsApp yang tidak dibaca, buka facebook dan tidur semula sambil menyusukan Zahra.

Semalam kita berjumpa tanpa bertegur sapa dalam sebuah majlis.  Sumpah aku tidak berkecil hati lagi.  Sudah tidak merasakan seperti sebelumnya.  Aku sangat tenang selepas meminta maaf dan kamu memaafkan.  Aku mendoakan kamu bahagia di samping keluarga tersayang dan ayahmu ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah.



Shah Iza Shahdan
Pengedar Shaklee [ID: 913771]
017-7807014